بسم الله الرحمن الرحيم
Mudah-mudahan mendapat syafaat dan pertolongan dari junjungan besar Nabi kita Sayyidina Muhammad Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bagi mereka yang membacanya seorang diri atau pun bersama jemaah, setiap malam atau hari, seminggu sekali atau pun sebulan sekali. Segarkanlah ingatan dan kenangan kita terhadap Baginda (صلى الله عليه وسلم) yang amat kita kasihi dan sayangi ini dengan membaca lembaran-lembaran sejarah hidupnya, sambil mengumandangkan selawat-selawat salam ke atasnya.
Tulisan-tulisan ini diambil dari Mawlid Ad-Daibai’, karangan Al-Hafiz Wajihuddin Abu ‘Abdillah Abdul Rahman Ibnu ‘Ali Ibni Muhammad Ibni Umar As-Syaibani Az-Zabidi As-Syafie atau lebih dikenali dengan panggilan masyhur Al-Imam Ibnu Ad-Daibai’, suatu gelaran yang berasal dari datuknya ‘Ali Ibnu Yusuf. Daibai’ bermaksud putih dalam bahasa Sudan. Mawlid Ad-Daibai’ sudah berumur lebih 450 tahun dan dibaca di hampir seluruh dunia Islam.
Imam Ad-Daibai’ adalah seorang ulama ahli hadis dan ahli tarikh. Beliau dilahirkan pada hari Khamis, 4 Muharram 866H bersamaan 9 Oktober 1461M di kota Zabid, Yaman Utara. Pada masa kecilnya, beliau telah diasuh oleh bapa saudaranya Jamaluddin Muhammad Ibnu Ismail, Mufti Zabid. Dari situlah beliau telah mendapat ilmu Al-Quran, ilmu Hadis, ilmu Hisab dan tarbiah yang utama.
Selain itu, beliau juga telah berguru dengan beberapa ulama pada zamannya. Antaranya adalah Imam As-Sakhawi, Ibnu Ziyad, As-Syahid Al-Hafiz At-Tahir Ibnu Husain Al-Ahdal, As-Syaikh Ahmad Ibnu Abdul Latif As-Syardji dan beberapa ulama di “Bait Al-Faqih” dari keluarga Ibnu Dja’man.
Recent Comments